Kursus Latihan Pengendali Makanan (Food Handler Training Course)

PROGRAM LATIHAN PENGENDALI MAKANAN

Tahap kebersihan premis makanan yang tidak memuaskan serta meningkatnya laporan kejadian keracunan makanan telah mendorong KKM untuk meningkatkan lagi latihan kepada pengendali makanan. Ini juga disokong dengan Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel 1998 pada bulan September 1998, di mana imej negara di mata dunia perlu dijaga.

Berdasarkan faktor dan beban kerja yang ditanggung, latihan pengendali makanan telah diswastakan dan dikendalikan secara lebih sistematik oleh tenaga pengajar yang diiktiraf.

Kementerian Kesihatan telah melancarkan Program Latihan Pengendali Makanan (LPM) pada tahun 1996 dengan mengiktiraf institusi swasta bagi menjalankan kursus asas dalam aspek kebersihan dan pengendalian makanan. Objektif Program ini ialah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada semua pengendali makanan mengenai aspek-aspek kebersihan dan keselamatan makanan, diri pengendali dan premis makanan dan seterusnya bagi mengurangkan kejadian keracunan makanan di seluruh negara.

Menerusi program ini modul latihan yang seragam untuk semua pengusaha dan pengendali makanan telah diwujudkan. Sesi latihan ini dikendalikan oleh Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM di seluruh negara. Semua tenaga pengajar perlu menghadiri dan lulus penilaian Kursus Wajib Tenaga Pengajar sebelum layak mendapat pengiktirafan KKM sebagai tenaga pengajar.

Sumber: http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?id=222